Monday, 17 February 2014

Latar Belakang, Sejarah Disleksia

1878, seorang Ahli Fizik berbangsa Jerman, Dr. Kussmaul mencatatkan mengenai seorang lelaki yang mempunyai kecerdasan normal tetapi tidak boleh membaca. Beliau menamakan keadaan ini sebagai 'buta membaca' (reading blindness) (Selikowitz, 1993). 9 tahun kemudian, tokoh pertama yang menggunakan istilah disleksia ke atas pesakitnya dikenal pasti ialah seorang ophthalmologist yang bekerja di Stuttgart pada tahun 1887. 
Catatan seterusnya mengenai disleksia direkod dalam British Medical Journal pada tahun 1896, di mana Dr. Pringle Morgan, seorang doktor di Sussex menulis artikel mengenai seorang budak lelaki berusia 14 tahun bernama Percy. Percy seorang yang bijak dan cerdas, boleh menguasai permainan dengan cepat dan tiada kekurangan berbanding rakan lain, tetapi tidak boleh mengeja. Dia mengeja namanya sendiri sebagai 'Precy' (Pumprey dan Reason, 1991). 

Seorang ahli neorologi, Samuel T. Orton merawat dan membuat kajian ke atas kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran semenjak tahun 1925. Beliau memeriksa 125 orang kanak-kanak dan merekod ciri-ciri yang berkaitan dengan masalah pembacaan mereka. Beliau juga mengkaji post mortem otak manusia. Orton memperkenalkan istilah 'ketidakupayaan membaca yang spesifik' dalam kajiannya dan mencadangkan bahawa punca kesukaran itu adalah proses lateralization yang tidak sempurna dalam hemisfera otak. Menurut beliau, pemulihan keadaan ini memerlukan cara pengajaran yang khusus (Ott, 1997). Orton menyuarakan hak dan keperluan pesakitnya dan menekankan ia merupakan, "faktor biasa penyebab kegagalan pendidikan awal" (Geshwind, 1982). Orton merupakan antara ahli perubatan pertama mengaitkan pendidikan dengan neurologi pediatrik. Susulan dari kegigihannya, Persatuan Disleksia Orton ditubuhkan oleh rakan-rakan dan penyokongnya bagi meneruskan kerja-kerja beliau (Snowling dan Stackhouse, 1996). Sekitar tahun 1930-an, Anna Gillingham adalah seorang pembantu penyelidik Orton. Gillingham telah mencipta satu kaedah mengajar kanak-kanak disleksia. Gillingham dan seorang guru bernama Bessie Stillman telah mencipta teknik-teknik pengajaran pelbagai-deria bagi membantu kanak-kanak disleksia yang dikenal pasti oleh Orton. Sistem ini sudah digunakan secara meluas dan menjadi asas kepada banyak program pengajaran seterusnya (Ott, 1997; Hornsby & Shear, 1993; Gearheart, 1973).

RUJUKAN
Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006), Apa Itu Disleksia, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment