Sunday, 16 February 2014

Aspek Perbezaan Individu

Seseorang individu berbeza dari aspek fizikal, kognitif, sosial, emosi dan rohani. Bagaimana individu berbeza dari aspek-aspek tersebut?
Perbezaan Kognitif
Seseorang individu mempunyai perbezaan dari segi kecerdasan kognitif atau mental, keupayaan berfikir, mengingat, menaakul, kebolehan berbahasa, mengira, berfikiran logik dan berimaginasi. Seseorang individu juga berbeza dari segi memproses rangsangan-rangsangan yang diterima daripada persekitaran dengan cara yang berlainan. 

Perbezaan Sosial
Kebolehan untuk berinteraksi juga bergantung kepada sifat seseorang individu, sekiranya seseorang itu bersifat ekstrovet maka individu tersebut lebih mahir bersosial atau bercampur gaul berbanding dengan seseorang introvert.

Perbezaan Fizikal
Seseorang individu itu adalah berbeza dari segi tinggi, berat badan, jantina, warna kulit, paras rupa, dan sebagainya. Pada amnya seorang lelaki lebih kekuatan fizikalnya berbanding perempuan.

Perbezaan Emosi
Seseorang individu mempunyai tahap emosi yang berlainan seperti mudah mesra, kawalan perasaan, ketabahan dan toleransi, rasa marah dan sebagainya. Keadaan ini berlaku kerana seseorang itu berasal dari keluarga yang mempunyai tahap sosio emosi yang berlainan.

Perbezaan Rohani
Biasanya seseorang individu akan mengikut agama ibu bapa mereka dan sesuatu bangsa mengamalkan kepercayaan beragama yang sama. Sebenarnya aspek perbezaan individu bukannya terbatas kepada 5 aspek yang telah disenaraikan di atas. Masih terdapat pelbagai aspek lain seperti bangsa, bahasa, lokasi tempat tinggal, fahaman politik, status ekonomi, aspirasi dan motivasi, kesihatan dan seumpamanya.

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERBEZAAN INDIVIDU

Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam menimbulkan perbezaan individu. Bagaimanapun faktor-faktor tersebut boleh digolongkan kepada 2 kumpulan iaitu;
  1. Faktor Baka - Menurut Ee Ah Meng (2005), baka memainkan peranan penting dalam menentukan ciri-ciri fizikal seperti warna mata, warna rambut, tinggi atau rendah seseorang itu. Dari segi mental pula, ibu bapa yang cepat hilang akal, akan melahirkan anak yang tidak stabil emosinya. Kasnani Ab Karim et. al (2006) pula berpendapat setiap orang akan mewarisi sebahagian besar paras rupa, tahap kecerdasan, temperamen, tahap aktiviti, tahap personaliti, gaya bahasa, gaya hidup, sikap dan minat. Baka diperturunkan oleh ibu bapa melalui percantuman 23 kromosom ibu dan 23 kromosom bapa.
  2. Faktor Persekitaran - Kasnani Ab Karim et. al (2006) berpendapat faktor persekitaran yang mempengaruhi perbezaan antara individu adalah seperti kebudayaan, masyarakat, pengalaman, rakan sebaya, media massa, suasana keluarga, taraf ekonomi keluarga dan pemakanan. Ee Ah Meng (2005) pula berpendapat keadaan kelahiran, sosioekonomi keluarga, asuhan ibu bapa, rakan sebaya, kebudayaan dan norma, kemudahan-kemudahan pembelajaran serta jantina adalah faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi perbezaan individu. Ringkasnya faktor persekitaran adalah perkara-perkara yang bukan genetik yang mempengaruhi perbezaan individu.

No comments:

Post a Comment