Thursday, 30 January 2014

Istimewanya Anak Sindrom Down

 Mengapakah Sesetengah Bayi dilahirkan Sindrom Down? 
Sindrom down berlaku apabila seorang bayi itu menerima unsur genetik tambahan daripada ibu bapanya. Dalam kebanyakan kes, sukar untuk difahami mengapa ia terjadi. Sindrom down atau trisomy 21 merupakan kecacatan genetik disebabkan oleh kehadiran sebahagian atau kesemua kromosom 21. 
Sindrom down ini dinamakan sempena John Langdon Down, doktor British yang pertama kali menggambarkannya pada tahun 1866. Keadaan ini bercirikan oleh gabungan perbezaan besar dan kecil pada struktur badan. Sering kali sindrom down dikaitkan dengan kelemahan keupayaan berfikir (kognitif) dan tumbesaran kanak-kanak dan juga perwatakan muka. Sindrom down biasanya dikenal pasti semasa kelahiran.
Risiko melahirkan bayi dengan sindrom down lebih tinggi bagi wanita yang mengandung pada usia lewat. Oleh kerana ini melibatkan profil genetik, sesetengah keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi manakala bagi yang lain pula ia merupakan satu perkara yang berlaku secara rawak.

 Bolehkah Bayi Sindrom Down didiagnosis Sebelum Kelahiran? 
Jika umur anda lebih daripada 35 tahun, anda mungkin akan ditawarkan saringan untuk sindrom down semasa anda hamil. Saringan ini termasuk gabungan ujian darah dengan imbasan untrabunyi (ultrasound).
Ujian-ujian saringan yang dilakukan ke atas perempuan hamil tidak dapat memastikan dengan tepat jika bayi anda mempunyai sindrom down. Ia hanya boleh memberitahu samada terdapat risiko tinggi mengalaminya.
Jika keputusannya menunjukkan bahawa bayi anda mungkin mengalami sindrom down, anda mungkin boleh memilih untuk menjalani ujian-ujian lanjut seperti amniosintesis dan ujian virus korionik (chorionic villus sampling -CVS). Ini dilakukan dengan cara memasukkan sebatang jarum halus ke dalam uterus (rahim) dan mengeluarkan sedikit sel untuk diuji di makmal. 
Terdapat sedikit risiko jangkitan atau keguguran dengan ujian-ujian tersebut. Jika doktor mencadangkan ujian ini dijalankan, beliau perlu menerangkan dengan jelas tentang risiko dan kebaikan ujian-ujian ini.
Untuk mendiagnos sindrom down selepas bersalin, doktor kepada bayi anda mungkin membuat pemeriksaan fizikal dan menguji darah bayi untuk mengesan kehadiran kromosom tambahan.
 Adakah Bayi Sindrom Down akan mengalami Masalah Kesihatan? 
Adalah sangat penting bagi kanak-kanak sindrom down bagi mendapat penjagaan kesihatan yang baik sepanjang hayatnya supaya sebarang masalah dapat dikesan dn diuruskan dengan baik. Kanak-kanak sindrom down harus kerap dibawa mendapatkan pemeriksaan kesihatan termasuk ujian-ujian pendengaran dan penglihatan. Kanak-kanak juga perlu mendapat perhatian daripada mereka yang pakar dalam masalah pembelajaran. 
Kanak-kanak sindrom down mempunyai risiko yang lebih tinggi menghidap leukimia dan masalah penyakit lain yang berkaitan dengan darah. Sindrom down boleh menjejaskan setiap bahagian badan dan mungkin menjurus kepada beberapa bahagian iaitu;
1. masalah dengan pergerakan otot, sendi dan tulang
2. masalah penglihatan dan pendengaran
3. mudah terkena jangkitan
4. masalah penghadaman
5. paru-paru tidak normal
6. kecacatan jantung

 Bagaimana Masa Depan Bayi Sindrom Down? 
Semua kanak-kanak sindrom down mempunyai masalah pembelajaran. Namun, tahap keseriusannya berbeza bergantung kepada individu tersebut. Kebanyakan kanak-kanak sindrom down dapat mencapai tahap perkembangan seperti belajar berjalan, penggunaan tandas, bercakap, membaca dan menulis, tetapi mengambil masa untuk melakukannya mengikut kemampuan sendiri.
Anak anda mungkin memerlukan bantuan tambahan seperti terapi pertuturan, fisioterapi dan pendidikan khas. Seperti mana kanak-kanak lain, kanak-kanak sindrom down memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga dan kanak-kanak ini perlukan sokongan untuk membantu perkembangan mereka. Sesetengah kanak-kanak sindrom down dapat mengikuti pembelajaran di sekolah biasa. Sindrom down dewasa dapat hidup sihat dan aktif sehingga melepasi umur 50 tahun.

No comments:

Post a Comment